Sabtu, 25 Februari 2017



Analisis video Jack Ma

Berdasarkan pemerhatian dalam video Jack Ma : How To Have A Successful Life, seseorang usahawan yang Berjaya haruslah berusaha mencapai sesuatu dalam setiap peringkat umur iaitu semasa menjadi pelajar, jadilah salah seorang pelajar yang berjaya dan selepas itu ceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Hal ini demikian kerana, jika seseorang itu hendak menjadi usahawan, mereka perlulah belajar daripada peringkat bawah dahulu supaya dapat mengenal apa itu dunia usahawan.
            Selain itu, seseorang usahawan itu haruslah telah menguasai bidang perniagaaan yang dijalankan dan usahawan tersebut tidak digalakkan untuk bertukar-tukar matlamat. Hal ini demikian kerana, ianya adalah salah satu pembaziran masa seseorang dan akan mencapai matlamat baharu itu dengan lebih lama. Seterusnya, seseorang usahawan itu haruslah memberi peluang kepada usahawan yang lebih muda dalam mentadbir perniagaannya kerana menurut Jack Ma, usahawan muda itu akan membuat sesuatu yang lebih baik dan boleh meningkatkan lagi perniagaan yang dijalankan.
            Di samping itu, seseorang usahawan yang berjaya haruslah membantu usahawan muda yang sedang berkenalan dalam dunia usahawan seperti melabur, membuat seminar, memberi pinjaman perniagaan untuk usahawan muda sehingga mereka berjaya dan mencapai matlamat yang mereka kehendaki. Usahawan muda juga tidak perlu berasa takut jika telah membuat kesalahan dalam perniagaan malah mereka harus bangkit dan memperbaiki kesalahan tersebut. Hal ini demikian kerana, seseorang itu akan mempelajari sesuatu melalui kesalahan yang telah dilakukan.
            Selain itu, untuk menjadi seseorang yang berjaya, kita haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya matlamat dapat dicapai dengan mudah dan jangan sesekali berputus asa untuk berusaha. Hal ini demikian kerana, usaha tangga kejayaan dan untuk mencapai kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah, Menurut Jack Ma, orang sekeliling tidak tahu apakah masalah yang sedang kita hadapi dan mereka mempunyai pelbagai pendapat tersendiri sama ada negative atau positif dan seseorang usahawan itu harus bertahan dengan pendapat-pendapat negatif orang sekeliling dan terus maju kehadapan tanpa memandang ke belakang.
            Seseorang usahawan itu juga haruslah sentiasa berhasrat untuk mencapai matlamat yang telah dirancang. Hal ini demikian kerana, perancangan jangka masa panjang dan jangka masa pendek amat penting dalam memulakan sesuatu perniagaan supaya dapat mengurangkan atau mengelakkan daripada sebarang kesalahan yang boleh mencacatkan sesebuah perniagaan.
            Seterusnya, seseorang usahawan itu juga haruslah sentiasa fokus dalam membuat sebarang kerja. Hal ini demikian kerana, dengan adanya fokus dalam sesuatu kerja, kerja akan dapat dilakukan dengan baik dan cemerlang. Dalam erti kata lain, dengan adanya fokus dalam sesuatu kerja, seseorang usahawan dapat memudahkan urusan perniagaannya.
            Akhir sekali, seseorang usahawan itu haruslah mendapatkan pendapat orang sekeliling untuk membuat sesuatu tindakan seperti keluarga dan rakan-rakan. Hal ini menambahkan lagi kualiti sesebuah perniagaan dan usahawan dapat mengetahui kehendak pelanggan dengan lebih teliti.
            Kesimpulannya, seseorang usahawan yang ingin berjaya perlu mencontohi sikap disiplin Jack Ma yang sentiasa berusaha, menolong usahawan muda dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan